"Suatu Komuniti"

19.3.09

LPT Tak Sedap


Tak sedap? Ape yang tak sedap tu? LPT tu makanan ke?… LPT adalah Lebuhraya Pantai Timur. Mungkin lebih sesuai jika “tidak selesa” digunapakai. Namun bagi orang Teranung… Kurang selesa, atau kurang sihat boleh digunakan perkataan “tak sedap”. Dok sedap badan, dok sedap duduk dan sebagainya.

Memang sudah beratus kali En.Lanun melalui lebuhraya yang sekadar melepaskan batuk ditangga tu, tapi baru hari ni tergerak untuk dipaparkan didalam blog ni. Ianya amat berbeza dengan lain-lain lebuhraya di Malaysia ini jika hendak dibandingkan dengan lebuhraya LDP, PLUS dan sebagainya. Apakah kelebihan LPT ini dengan rakan-rakannya yang lain? Antara ciri-cirinya adalah :-

  • Permukaan jalannya tidak disekata, berlubang serta berbonggol yang membolehkan kenderaan anda melambung-lambung ketika memandu terutamanya di kawasan jejambat.
  • Disekitar LPT ini juga, jika bertuah para pengguna akan dapat melihat lembu-lembu melintas. Panorama ini tidak dapat dilihat di lain-lain lebuhraya..pengguna juga berpeluang melanggar-langgar lembu-lembu tersebut.
  • Untuk memberikan keseronokan “traffic jamm” kepada pengguna ketika musim-musim perayaan ataupun cuti umum, syarikat konsesi LPT juga telah menyediakan hanya 1 lorong tol untuk pembayaran tunai, 1 lorong untuk Touch n Go serta 1 lorong untuk SmartTag.
  • Para pengguna juga pasti akan sentiasa dapat melihat keindahan susunan geometri kon-kon yang disusun kerana ada sahaja lorong ditutup untuk pengubahsuaian dan pembaikian sedang dijalankan.

Pengalaman En.Lanun melalui LPT pada hari Rabu baru-baru ini.

  • Sekurang-kurangnya 5 tempat lorong ditutup dan dibuka hanya satu lorong dan adakalanya trafik dilencongkan ke lebuhraya yang bertentangan arus.
  • Terlihat kemalangan yang menyebabkan kematian S/usaha kerja UMNO Negeri Pahang iaitu Datuk Abdullah Rahmat, 5. Maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas setelah terlanggar seekor lembu dalam kemalangan di KM92 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Lanchang.

Ada yang tidak kena’ — 150 kemalangan di LPT sejak dibuka dua bulan lalu

Utusan Malaysia
17 Oktober 2004
ms 01
Dalam Negeri

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Gingkoi Seman Pancras percaya terdapat sesuatu yang `tidak kena’ dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sehingga berlaku lebih 150 kemalangan sejak ia dibuka dua bulan lalu.

Ini kerana, katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan Polis Trafik Pahang mendapati beberapa lokasi sepanjang LPT berpotensi mengundang kemalangan maut dan kenderaan mudah terbabas.

Beliau memberitahu, antara lokasi yang dilaporkan sering berlaku kemalangan ialah dari Kilometer (Km) 90 hingga 131 berdekatan Lancang dan Temerloh.

“Kajian dan rekod kami menunjukkan di daerah Temerloh sahaja terdapat 47 kes kemalangan sejak LPT dibuka.

“Daripada jumlah itu, 36 kes dilaporkan berlaku di Kilometer 90 hingga 131.

“Walaupun tidak dinafikan kemalangan berlaku akibat kecuaian manusia dan memandu melebihi had laju, tetapi kita juga tidak boleh mengetepikan faktor seperti keadaan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemalangan membabitkan seorang warga emas, Kidin Mohamad, 82, yang terbunuh selepas tercampak keluar dari ambulans yang terbabas lalu terbalik di Km 187, LPT dekat Kuantan, semalam.

Statistik Polis Trafik Pahang menunjukkan sehingga 15 Oktober lalu, sebanyak 153 kemalangan dilaporkan berlaku sepanjang LPT termasuk tiga kemalangan menyebabkan kematian.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebelum ini dikritik hebat setelah didapati struktur jalan di lebuh raya itu tidak berkualiti semasa dibuka 1 Ogos lalu sehingga Badan Pencegah Rasuah (BPR) terpaksa menyiasat dakwaan itu.

Menurut Gingkoi, pihaknya sudah memaklumkan dan menyerahkan beberapa laporan berhubung lokasi berbahaya itu kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pengendali LPT, MTD Capital Berhad (MTD) untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis trafik akan memantau perkembangan di kawasan tersebut dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kadar kemalangan khususnya melibatkan kematian.

“Di samping itu, kita juga mungkin menempatkan anggota-anggota di lokasi yang dianggap berbahaya khususnya menjelang musim perayaan bagi mengawasi keadaan di situ,” katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Gingkoi meminta orang ramai supaya memberikan laluan sekiranya mendengar isyarat kecemasan dari ambulans, bomba atau kenderaan pasukan keselamatan.

Di Kuantan, ARSHAD KHAN melaporkan, pemegang konsesi Lebuh LPT, MTD Capital Berhad diminta mempercepatkan pemasangan papan tanda amaran angin lintang dan kabus di beberapa lokasi sepanjang laluan sejauh 169 kilometer di lebuh raya itu.

Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, pemasangan papan tanda perlu disegerakan kerana kawasan Pantai Timur sudah mula memasuki musim monsun dan jumlah kenderaan semakin banyak pada musim perayaan ini.

Keadaan hujan yang kerap dan berangin kata beliau, akan menyebabkan pergerakan angin lintang berlaku dengan lebih banyak.

“Sebelum ini kita diberitahu, papan-papan tanda berkenaan akan dipasang pada minggu lepas, namun sehingga ke hari ini, selepas saya menelefon MTD, dimaklumkan papan-papan tanda berkenaan masih lagi di stor mereka di Ipoh,” katanya.

Menurut Wan Mohd. Samsudin, angin lintang dikesan di Kilometer 164, 174 dan 178.9 berhampiran Maran. Keadaan berkabus pula dikenal pasti berhampiran Kilometer 150.

Keadaan angin lintang di LPT kata beliau, tidak boleh dipandang remeh kerana beberapa anggota beliau yang meronda minggu lalu terserempak dengan sebuah kemalangan yang diakibatkan faktor itu.

“Kenderaan jenis Wira itu terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas, malah kenderaan pacuan empat roda anggota polis juga bergoyang akibat angin lintang,” katanya.

[Artikel asal: http://mydungun.com.my/blog/?p=113]

0 ulasan:

Anda sepatutnya dilencongkan ke laman baharu dalam masa 5 SAAT, JIKA TIDAK sila KLIK DI SINI